Misi Memburu Podium Diteruskan

fahmi-2

Meskipun sekadar meraih tempat ke-8 di perlumbaan kelima MotoGP di Litar Catalunya pada 3 Jun yang lepas, misi memburu podium pertama tetap akan diteruskan oleh pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Fokus Zulfahmi tidak sama sekali terjejas malah beliau terus meletakkan sasaran yang tinggi untuk berada di tangga podium di Litar Silverstone, Ahad ini.

Berbekalkan semangat dan azam yang tinggi meskipun terpaksa berdikari di negara orang, anak kelahiran Banting ini tetap percaya bahawa rezeki mendapatkan podium pasti akan berpihak padanya suatu hari nanti.

Ketika dihubungi melalui sistem pesanan ringkas (SMS), Fahmi mengharapkan rakyat Malaysia mendoakan kejayaan beliau pada setiap perlumbaan.

“Meraih kedudukan di podium merupakan impian buat setiap pelumba, begitu juga dengan saya. Doakan saya untuk terus berusaha supaya dapat berada di podium kerana itu adalah hadiah buat semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyokong saya,” katanya.

Menurut beliau lagi, keadaan cuaca di Silverstone pada hari Ahad ini diramalkan akan hujan tetapi beliau tetap positif dan berharap agar dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan serta sentiasa fokus untuk meneruskan misi yang diingini.

Mengulas mengenai kondisi jentera KTM nya Zulfahmi berkata, “Jentera saya berada dalam keadaan yang baik dan saya berharap agar ia tidak akan menghampakan saya pada perlumbaan di Litar Silverstone Ahad ini.”

Walaupun sibuk menjalani latihan kecergasan pada setiap hari, beliau tetap tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2012 yang sedang hangat berlangsung pada ketika ini. Beliau yang merupakan penyokong kuat pasukan Sepanyol memberitahu bahawa setiap hari beliau tidak akan lupa untuk mengikuti perkembangan Euro 2012 melalui laman web.

“Sejak kecil, saya memang meminati pasukan bola sepak Sepanyol kerana kebanyakan pemain pasukan itu bermain untuk kelab Barcelona dan Real Madrid. Tambahan pula, kedua-dua kelab tersebut merupakan antara kelab yang terhebat di dunia serta pernah melahirkan ramai pemain ternama seperti Andres Iniesta dan Iker Casillas,” jelasnya lagi.

Selain daripada itu, bersempena dengan sambutan Hari Bapa yang jatuh pada tanggal 17 Jun ini, beliau juga tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada bapanya, Khairuddin bin Weji yang menjadi tulang belakang serta penyokong kuat dalam pembabitannya di arena sukan permotoran ini.

“Ayah adalah orang yang paling banyak membantu saya dari segi mental bagi meneruskan cabaran untuk beraksi di setiap perlumbaan, “jelasnya lagi.